.:SARJANA MUDA PENDIDIKAN ISLAM SESI 2008/2009:.

Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami mendengar orang yang menyeru kepada iman, (iaitu),"Berimanlah kamu kepada Tuhanmu," maka kami pun beriman. Ya Tuhan kami ampunilah dosa-dosa kami dan hapuskanlah kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami beserta orang-orang yang berbakti. (Ali-Imran:193)

03 Mac 2009

PPSMI Cetus Kecelaruan Jati Diri

PENGAJARAN dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) bukan isu baru. Banyak pihak tampil mengemukakan maklum balas, sama ada yang menyokong atau menentang. Pelbagai kritikan dan pandangan, kajian dan teori dibentang serta dibahaskan bagi mencari jalan keluar menangani permasalahan ini.

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) masih tetap dengan prinsipnya bahawa PPSMI harus dimansuhkan demi kesejahteraan semua. Hal ini berdasarkan beberapa sebab meliputi aspek undang-undang, pendidikan dan faktor sosioekonomi serta citra dan kebudayaan tempatan.

PPSMI bertentangan dengan maksud dan semangat Perlembagaan yang secara terang mencabar Perkara 152, Perkara 159, Perkara 10(4), Akta Pelajaran 1996, Akta Bahasa Kebangsaan dan lain-lain yang menjamin hak dan kedudukan Bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi kerajaan, termasuk pendidikan.


PPSMI turut menyerlahkan bukti tidak prihatin terhadap Rukun Negara yang menjadi asas 'keMalaysiaan' apabila keluhuran Perlembagaan dirobek dan kedaulatan undang-undang dipersenda.
Ideologi penjajah PPSMI menghakis keyakinan masyarakat terhadap keunggulan bahasa Melayu yang menjadi teras kewarganegaraan dan jati diri bangsa, selain perkara terpenting bagi memacu ketamadunan baru Malaysia.

Krisis keyakinan dan jati diri ini akan menjurus kita kepada kegagalan untuk melahirkan masyarakat kompetitif dan berdaya saing pada peringkat tempatan mahupun antarabangsa.
Kegagalan negara peminjam akut bahasa Inggeris khususnya di benua Afrika harus diambil iktibar. Di sisi lain, usaha murni digerakkan negara yang terkenal dengan jolokan 'the sleeping giant' iaitu China, mempelajari dan menguasai bahasa Melayu perlu diteladani.
Justeru, pandangan songsang yang berterusan mengagung-agungkan bahasa Inggeris sebagai senjata terpenting mencipta tamadun baru Malaysia bukan saja tidak masuk akal, malah pandangan golongan pendek akal.

Bagi mendepani cabaran global, kefahaman yang tepat dan mendalam terhadap makna dan isi utama sesuatu bidang ilmu itu adalah sangat dituntut.

Hasil kajian Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS 2007) anjuran International Association for the Evaluation of Educational Achievement (IEA) menunjukkan Malaysia mengalami penurunan mata yang signifikan berbanding 2003.
Bagi subjek Matematik, kedudukan ke-20 daripada 49 negara pada 2007 berbanding kedudukan ke-10 dari 46 negara pada 2003, sangat mendukacitakan. Dapatan yang lebih kurang sama direkodkan bagi subjek Sains.

Justeru, sewajarnya PPSMI ini segera dimansuhkan agar dapat memulihkan prestasi dan kefahaman Sains dan Matematik di kalangan pelajar khususnya penduduk luar bandar dan kawasan pedalaman.

ABU QASSIM NOR AZMI,
Exco Pendidikan dan Penyelidikan
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).
Berita Harian Online

0 comments:

Catat Ulasan

HIWAR


I made this widget at MyFlashFetish.com.