.:SARJANA MUDA PENDIDIKAN ISLAM SESI 2008/2009:.

Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami mendengar orang yang menyeru kepada iman, (iaitu),"Berimanlah kamu kepada Tuhanmu," maka kami pun beriman. Ya Tuhan kami ampunilah dosa-dosa kami dan hapuskanlah kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami beserta orang-orang yang berbakti. (Ali-Imran:193)

03 April 2009

Konflik Guru & Pelajar / Murid

Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaiza@hmetro.com.my

MASIH dianggap isu panas, kes disiplin pelajar yang semakin melampau seolah-olah tiada kesudahan apatah lagi pelbagai berita negatif membabitkan golongan itu dipaparkan media sejak kebelakangan ini.

Insiden guru dipukul, dicerca, diugut dan dimaki golongan pelajar bermasalah kini menjadi senario biasa hingga menjejaskan kredibiliti guru sekali gus menjatuhkan maruah golongan itu.

Masyarakat turut menyelar tindakan pelajar terbabit . Bagaimanapun, timbul persoalan, adilkah jika terus bersikap menyalahkan pelajar tanpa melihat mengapa mereka bertindak di luar batasan?

Benarkah isu berkaitan disiplin berpunca daripada pelajar semata-mata manakala guru terkecuali?

Bagaimana pula nasib pelajar yang sukar mendapat pembelaan berbanding guru apabila tercetusnya konflik begini?



Bukan mahu mencipta polemik, sikap masyarakat yang suka menjatuhkan hukuman terlalu awal juga menyumbang faktor pelajar memberontak.

Pro Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak, Tan Sri Dr Yahaya Ibrahim, berkata isu berkenaan wajar ditangani secara berhemah, mengikut pertimbangan wajar serta tidak terlalu mengikut perasaan hingga merugikan kedua-dua pihak.

Menurutnya, masalah disiplin suatu yang normal dan kewujudan konflik antara guru-pelajar tidak dapat dielakkan kerana perbezaan budaya, pemikiran, usia dan zaman.

"Isu ini bukan isu luar biasa kerana sejak dulu masalah disiplin sudah ada. Persoalannya sejauh mana seriusnya masalah itu dan bagaimana pihak terbabit cuba menanganinya?

"Martabat guru tinggi dan pelajar wajar menghormati kedudukan itu. Konflik timbul disebabkan faktor perbezaan budaya, sosial dan pemikiran menyebabkan satu golongan tidak boleh menerima yang lain.

"Bagaimanapun, itu bukan alasan menghukum sesuka hati sebaliknya perlu ditangani menggunakan kaedah yang praktikal bagi mengelak mana-mana pihak menanggung kerugian," katanya.

Semua pihak kesal kerana isu disiplin pelajar tidak pernah selesai atau berkurangan. Malah, akhir-akhir ini bukan saja membabitkan perbalahan konflik emosi, tapi juga penggunaan fizikal.

Meskipun pelbagai cara diambil bagi menanganinya termasuk kaunseling, rotan atau buang sekolah, usaha itu masih gagal sebaliknya tindakan pelajar semakin melampau.

Manakala guru pula menggunakan sokongan sedia ada untuk mempertahankan tindakan sehingga melebarkan jurang sedia ada.

Mengulasnya, Dr Yahaya berkata tindakan pelajar itu boleh dikategorikan sebagai kurang ajar, namun masyarakat tidak boleh membuat tuduhan melulu dan menjatuhkan hukuman sesuka hati tanpa mengetahui kebenarannya.

"Sikap masyarakat yang suka membuat tuduhan tanpa mengetahui kebenaran boleh memburukkan keadaan. Saya cadangkan kedua-dua pihak bersemuka bagi memberi peluang mereka bersuara.

"Negara kini mempunyai jumlah pelajar dan guru cukup besar, tapi kes membabitkan disiplin serius hanya membabitkan segelintir pihak. Ini menunjukkan hanya peratusan kecil tidak mengikut peraturan.

"Guru perlu menggunakan budi bicara menanganinya secara berhemah, cuma jika membabitkan keselamatan atau maruah, mereka perlu meminta bantuan pihak ketiga," katanya.

Ditanya jika masalah ini sengaja diprovokasi pihak tertentu dengan menjadikan pelajar sebagai mangsa, beliau tidak bersetuju, malah menegaskan isu berkaitan pendidikan tidak boleh dipermainkan.

Menurutnya, sebagai sebuah institusi yang menjana ilmu bagi melahirkan pemimpin masa depan, pendidikan perlu bersifat telus dan tidak menjadikan sesiapa sebagai korban.

"Masalah ini bukan sengaja diperbesarkan. Ia hanya berkaitan pertentangan sesuatu aspek hingga mencetuskan konflik guru-pelajar yang sewajarnya ditangani segera.

"Malah, konflik ini jika ditangani dengan baik, ia akan mewujudkan perhubungan lebih harmoni dan mantap. Justeru, elak membangkitkan isu menyentuh sensitiviti sesiapa," katanya.

Berkaitan hukuman berat dikenakan terhadap pelajar bermasalah, beliau berkata tindakan itu ada pro dan kontra.

"Ada dua situasi perlu dilihat, jika pelajar terbabit sudah insaf dan berjanji untuk berubah, mengapa tidak memberi peluang?

"Bagaimanapun, jika sudah diberi peluang, mereka melakukan tingkah laku sama, hukuman paling berat perlu dilaksanakan.

"Bagaimanapun, saya percaya setiap masalah ada jalan penyelesaiannya dan pihak yang terbabit perlu menggunakan budi bicara supaya tidak merugikan sesiapa," katanya.






2 comments:

izyan insyirah berkata...

Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa
Segalanya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca...

(antara sajak nukilan Allahyarham Datuk Usman Awang)
***************************************

Jika hari ini siapa saja perosak bangsa,
Bermula dengan kegagalan guru kita
Cuai mengasuh generasi muda

(sajak nukilan Mohd Yusri Ibrahim)

durisemalu berkata...

guru amat bererti kepada pelajar, begitu juga sebaliknya.konflik timbul ada kemungkinan tidak pandai menangani emosi atau cuba melarikan diri dari masalah yang dihadapi di kalangan guru. jarang sekali kita menjumpai dewasa ini seorang guru yang bertindak sebagai 'kawan rapat' kepada pelajar. kebanyakan guru sekarang jika berhadapan dengan pelajar yang bermasalah, mereka lebih gemar 'mencop' dan membiarkan pelajar tersebut 'diurus' oleh guru disiplin dan seumpamanya. 'menyerahkan pelajar bermasalah kepada guru kaunseling juga bukannya satu jalan penyelesaian yang wajar kerana, persepsi pelajar adalah guru kaunseling merupakan guru untuk pelajar yang menimbulkan masalah disiplin semata-mata. ini lebih memburukkan keperibadian pelajar itu sendiri kerana boleh menimbulkan pandangan negatif pelajar terhadap diri sendiri. sebab itu mereka sukar memberikan kerjasama kepada guru kaunseling semasa sesi kaunseling dijalankan. kesimpulannya, keperibadian pelajar yang positif akan timbul bila persekitarannya adalah di kalangan orang dewasa yang positif dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan.

Catat Ulasan

HIWAR


I made this widget at MyFlashFetish.com.